Bagaimana Depresi Mengganggu Cara Kita Berfikir

Pembaca yang saya sayangi, Depresi bukan hanya soal perasaan kosong atau sedih, tetapi ia juga mencengkam akal dan cara kita berfikir. Ia membuat minda kabur, bercelaru, dan terperangkap dalam gelung negatif yang seakan tiada penghujung. Ini adalah antara simptom-simptom kognitif (otak) depresi;

1. Sukar Fokus & Mudah Lupa

Pernahkah anda membaca satu halaman buku tetapi bila sampai ke hujung, langsung tak ingat apa yang dibaca? Atau duduk depan komputer sejam, tapi skrin masih kosong? Depresi melemahkan fokus hingga kerja kecil terasa seperti mendaki gunung.

2. Pemikiran Negatif Tanpa Henti

“Aku tak berguna.”

“Tak ada siapa peduli kalau aku hilang.”

Suara-suara ini bukan kebenaran, tetapi gema depresi. Ia membesar dalam diam, menjadikan setiap kesilapan kecil seolah bukti kita tidak layak. Kata-kata semangat orang lain pun sering tewas melawan suara itu.

3. Fikiran Tentang Mati atau Melukai Diri

Bagi sesetengah individu, depresi mendorong kepada fikiran tentang kematian atau keinginan melukai diri. Ia bukan kerana mahu mati, tetapi kerana mahu menghentikan rasa sakit yang terlalu lama ditanggung. Menurut WHO, lebih 700,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat bunuh diri, dan jutaan lagi mencuba.

Penting Untuk Faham

Pemikiran ini bukan kelemahan, tetapi simptom – sama seperti demam adalah simptom penyakit fizikal. Ia tanda bahawa seseorang perlukan ruang untuk bercakap, empati, dan bantuan profesional.

🌿 Jika anda atau orang terdekat mula mengalami tanda-tanda ini, ketahuilah: meminta bantuan bukan tanda lemah. Ia tanda anda memilih untuk terus hidup.

Moga bermanfaat.

Aiman Roslan

21082025

Hoon Hay, Christchurch, New Zealand

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑